Tuesday, October 25, 2011

Kaffarah.......

Tiap-tiap ujung bulan, setiap penjawat awam akan menerima gaji sebagai bayaran upah kepada kerja-kerja yang dilakukan. Fendiosman juga tidak terkecuali, Fendiosman turut menerima bayaran upah kepada perkhidmatan yang Fendiosman berikan.

Kata orang, lagi besar upah, lagi banyak belanja, lagi sedap untuk bekerja. Tapi hakikatnya, lagi banyak upah, sebenarnya lagi besar tanggungjawab. Lagi banyaklah nak kena marah. Bekas bos Fendiosman di Kementerian Kesihatan dulu, yakni CityGirl pernah berkata,

"Gaji you ribu-ribu tu separuh tu adalah untuk kena marah dan maki hamun tau tak?"

Dan itulah yang menjadi pegangan Fendiosman sehingga hari ni, sampailah kena telan ubat tido sebab stress kena dera dengan Pontianak Kening Pantis satu ketika dulu.

Tapi dalam banyak-banyak hasil yang dituai, sudah pasti ada hasil yang kita tak tau kebersihannya sama ada betul kita melaksanakan sebarang pekerjaan itu dengan niat yang betul-betul suci. Biasanya, wang yang kotor ini akan dikeluarkan dalam bentuk musibah yang menimpa yang memerlukan kita membayar untuk satu-satu perkhidmatan dengan keadaan paksa rela.

Bulan ini, Fendiosman menerima gaji pada 20 Oktober, awal sedikit berbanding lain-lain bulan. Kenapa? Yaaa...sebab nak raya Yenna Yenni, nak raya Haji. Kononnya untuk buat persiapanlah. Tapi Fendiosman pun bersiap la jugak, berangan itu berangan ini. Kebetulan ada pulak jadual ke sana ke mari, bolehlah nak shopping konon.

Tapi Fendiosman lupa, dalam banyak-banyak wang yang diterima itu, kita kena membuat penyucian. Sepatutnya disalurkan ke tempat-tempat yang sepatutnya, tapi Fendiosman agak lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.

Jadi.............................



Terbanglah duit melayang-layang dari wallet kerana berlaku insiden yang tidak diingini yang melibatkan kenderaan BJE848 tatkala Fendiosman sedang enak bergembira di Langkawi.

Redha dengan ujian. Walaupun kata orang, banyak duit yang nak digunakan untuk mengembalikan kenderaan Fendiosman kepada keadaan asal, Fendiosman menganggap ini hanyalah satu kaffarah kepada dosa-dosa dan kekotoran yang Fendiosman lakukan selama ini.

Kenderaan Fendiosman yang dipandu oleh Lukmanosman terlanggar sebuah kereta apabila sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak berhenti sewaktu lampu isyarat berwarna merah sedang menyala di sebuah persimpangan. Satu sikap yang Fendiosman rasa perlu dikikis oleh setiap pemandu di Malaysia. Kalau dah merah tu, berhentilah. Apa salah kalau tunggu sekejap, melainkan anda tu Perdana Menteri ataupun ambulans. Haaa...kesannya, kereta Fendiosman jugak yang kena.

Tak pasal-pasal dah kena hantar ke kedai untuk diketuk dan dicat semula. Melayanglah hampir 2 ribu wang Fendiosman untuk membaiki kereta yang dah penyek bagaikan tin diketuk. Apa pun, Fendiosman bersyukur sebab adik Fendiosman, Lukmanosman tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur sangatlah!

Dan satu pencapaian buat Fendiosman, buat kali pertama, Fendiosman berjaya mengawal kemarahan setelah Lukmanosman memberitahu mengenai kemalangan yang menimpa beliau dan BJE848 yang Fendiosman sayangi itu. Biasanya, darjah keroyanan Fendiosman amatlah tinggi. Alhamdulillah, Fendiosman langsung tak melenting, walaupun ada perasaan sedih apabila mengenangkan kos yang Fendiosman terpaksa tanggung untuk menghantar kedai ke bengkel, menyewa kereta lain untuk kegunaan ke tempat kerja, dan membayar wang kepada pemilik kenderaan yang dicium oleh Fendiosman itu.

Walau apa pun yang berlaku, Fendiosman belajar untuk REDHA dengan ujian Allah dan bersyukur atas kesabaran dan kecekalan yang diberikan olehNYA tatkala Fendiosman ditimpa musibah. Tapi, Fendiosman menganggap, ia adalah satu teknik yang diberikan untuk Fendiosman membuat penyucian dan ia juga balasan kepada dosa-dosa yang Fendiosman lakukan selama ini. Semoga Fendiosman dilindungiNYA dari segala mara bahaya dan anasir-anasir yang tidak diingini. Amin.

Wallahua'alam

Wednesday, October 12, 2011

Gaji Naik Nohhh?



7 Oktober 2011 yang lalu merupakan satu tarikh yang amat ditunggu oleh hampir keseluruhan rakyat Malaysia. Bajet 2012 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri di Parlimen ditunggu-tunggu tidak kira sama ada penyokong Kerajaan ataupun pihak pembangkang. Masing-masing menunggu modal untuk dijadikan bahan berita untuk dikarang. Usai bajet dibentang, berjenis-jenis berita yang ditulis di dada-dada akhbar, di blog, di laman web. Tidak kurang yang menjadikannya topik perbualan di pejabat, di warung-warung kopi, di atas katil sebelum beradu (ehhhh!), dan di mana-mana saja.


Antara golongan yang paling menantikan pengumuman ini adalah sebahagian besar penjawat awam yang membuat beberapa tuntutan termasuklah mengenai kenaikan gaji dan pelanjutan umur persaraan.

Alhamdulillah, dalam teks ucapan YAB PM, diumumkan perkara-perkara berkenaan seperti yang Fendiosman petik melalui laman web Perbendaharaan Malaysia:-

"Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan dan penamatan perkhidmatan penjawat awam berdasarkan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:-

Pertama : Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berperstasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

Kedua : Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada grad DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit.

Ketiga : (Fendiosman melangkau kerana ia hanya melibatkan skim perkhidmatan pendidikan, DG)

Kempat : Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan atara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, penjawat awam yang menerima opsyen SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 17 peratus"

Tatkala semua perhatian ditumpukan kepada perkara kedua, ketiga dan keempat yang memberi peluang para penjawat awam menambah pendapatan, ada yang lupa langsung mengenai Dasar Pemisah yang digariskan di perkara pertama, yang mendahului ketiga-tiga perkara yang terkemudian.


Belum apa-apa garis panduan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, ada juga insan yang terlebih rajin mengeluarkan kenaikan gaji sendiri dan disiarkan di laman sosial seperti Facebook. Jadual Kenaikan gaji SBPA yang Fendiosman paparkan di atas adalah contoh kenaikan yang didakwa oleh sesetengah pihak. Terus terang, Fendiosman agak kurang selesa dengan rajah yang diterbitkan. Bukan sebab nilai kenaikan, tapi disebabkan oleh rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang 'SENTIASA SELANGKAH DI HADAPAN' yang lebih hadapan dari INTAN mahupun JPA.


Suka Fendiosman ingin mengingatkan, tiap-tiap perkara yang digariskan dalam ucapan tersebut disusun mengikut kepentingan. Perkara yang mula-mula sekali disentuh adalah, DASAR PEMISAH, dan bukannya KENAIKAN GAJI. Jadi, apa benar sifir yang dibuat itu? Dari sumber mana ia diperoleh? Pada pendapat Fendiosman, ia satu kira-kira yang amat sia-sia. Biarlah pihak JPA dan Agensi Pusat mengeluarkan pekeliling-pekeling tertentu sebelum bertindak. Bukan apa, takut nanti menggigit jari bila komitmen kewangan dah pun mula dibuat.

Secara keseluruhannya, dapat Fendiosman simpulkan....

"HOI...HANGPA DAH TAKDAK KHEJA LAIN KA NAK BUAT? ORANG SURUH BUAT KHEJA, HANGPA DOK KALUT KIRA GAJI BARU. LEPAIH TU, BILA TAK DAPAT APA HANGPA NAK, HANGPA KOMPLEN. KOMPLEN KOMPLEN KOMPLEN, TAPI KHEJA TAK TERA MANA. BUATLAH KHEJA YANG BERFAEDAH SIKIT. BARULAH SETIMPAL DENGAN PENGUMUMAN YANG DIBUAT. NI DOK KIRA NAK HORA HORA SAJA. HAISHHHH....."

Jadi, demikianlah pendapat Fendiosman mengenai ucapan bajet 2012 yang disiarkan di kaca televisyen secara langsung baru-baru ini. Sekian....


Saturday, October 01, 2011

Merayau-rayau ke hujung tanjung


Nukilan di bawah adalah cubaan Fendiosman untuk mengarang menggunakan bahasa skema, jadi....kalau murid-murid semua nak termuntah bila membaca, ampunkan Fendiosman ya!



Dalam keadaan kelam kabut Fendiosman mengheret beg ke sana ke mari, Fendiosman seboleh-bolehnya cuba untuk mencuri sedikit masa untuk membelai diri sendiri menikmati pemandangan indah di kawasan sekitar tempat Fendiosman bertugas luar. Kali ni, Fendiosman ditugaskan untuk membantu menyelesaikan urusan berkaitan induksi pegawai-pegawai nun jauh di timur Malaysia, yakni di Sabah.  Alang-alang dah sampai, masa mesti dimanfaatkan sebaik mungkin. Kalau ikutkan log penerbangan Fendiosman sepanjang Fendiosman berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan awam sejak penghujung 2004, ini kali ke 18 Fendiosman telah berkunjung ke negeri nan terkenal dengan kemuncak tertinggi di Asia Tenggara ini.


Lazimnya Fendiosman isi masa lapang selepas waktu kerja dengan sesi membelai diri di sauna dan jakuzi tempat penginapan Fendiosman. Bagi bakar lemak temanya, tapi tak jugak kurus-kurus. Aritu dah turun, lepas raya ni, Masya Allah......................berlipat kali ganda naiknya!


Tidak ketinggalan juga sesi membelai kaki dengan membuang segala kerak-kerak yang melekat, serta kulit-kulit mati yang membuatkan kulit kaki tak ubah seperti kertas pasir.


Namun pada kunjungan kali ini, Fendiosman berjaya juga menjejakkan kaki ke satu tempat istimewa yang menjadi salah satu tempat kunjungan idaman Fendiosman. Dengan deburan ombak yang menghempas, bayu laut yang melambai, dan pemandangan yang amat mendamaikan, tempat ini sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan. Jauh dari hiruk pikuk kota, dan dari kehidupan serba kelam kabut di bandar!


Warna biru air laut yang memanggil-manggil cukup untuk membuatkan Fendiosman terpaut, dan menanam hasrat untuk menjejakkan kaki ke tempat ini. Akhirnya, sampai jua Fendiosman ke daerah asing ini, dengan bantuan seorang teman, yang juga mempunyai keinginan yang sama. Jadi, seawal jam 8 pagi, kami gigih berkereta tanpa bantuan sebarang peta, apa lagi jurupandu untuk menyempurnakan hasrat yang terpendam.

Haaa...inilah teman merangkap supir Fendiosman. Sungguh gembira beliau menikmati jagung bakar yang dibeli di persinggahan untuk ke kawasan tujuan kami itu!

Tapi sebenarnya Fendiosman ke mana?

Inilah tempatnya ya murid-murid! Dari kejauhan, tempat ini seolah-olah memanggil Fendiosman untuk menghampirinya! Lambaian bendera Malaysia cukup untuk membuatkan Fendiosman rasa berbangga berpijak di bumi bertuah ini. Kata orang, there is no other place like home. Jadi, inilah buktinya!


Untuk murid-murid yang kurang mahir dalam ilmu Geografi, tempat ini namanya Tanjung Simpang Mengayau. Terletak di daerah Kudat, tempat ini merupakan penghujung paling utara bagi Pulau Borneo yang terdiri dari Negeri Sabah, Sarawak, Negara Brunei Darussalam, dan sebahagian dari Republik Indonesia.


Kalau keadaan cuaca mengizinkan, kita boleh melihat negara Filipina dari kejauhan. (tapi pulau seketul di sebelah kiri gambar tu bukanlah Filipina ya murid-murid).....


Kalau nak lihat pertemuan dua arus laut, di sinilah tempatnya. Laut China Selatan bertemu Laut Sulu di Tanjung ini. Kalau Afrika Selatan boleh berbangga dengan 'Cape of Good Hope'nya, Malaysia juga boleh berbangga dengan Simpang Mengayau yang jarang diterokai oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya. (sebab rakyat Malaysia yang ramai ni, hobi utama adalah membeli belah. Baca : royanan Fendiosman di Jepun dulu).



Apa aktiviti yang boleh dibuat di sini?


Hmmmm.....murid-murid, di sini kita boleh duduk berjam-jam lamanya menyaksikan alunan ombak, sambil menenangkan fikiran. Bagi yang dari spesis dalam hati ada taman, ataupun mirip-mirip novel Melayu karya Norhayati Berahim, di sini adalah tempat untuk mengimbau nostalgia kisah cinta lama, sambil menyaksikan ia dibawa pergi oleh arus yang entah ke mana haluannya. (Mrasalah feeling2 jadi penulis tersohor)


Shopping? Takde ye murid-murid. Hanya kulit siput saja yang boleh dibeli untuk dibuat ole-ole. Tapi bezanya harganya amatlah ketara jika nak dibandingkan dengan Pasar Filipina di Bandaraya Kota Kinabalu. Di sini, harganya begitu murah. Dah kalau murah kau nak makan ke kulit siput tu dek oii?


Di sini, keseluruhannya adalah menjurus kepada pemandangan.


Ada pemandangan laut yang jernih....sambil menyaksikan ikan-ikan berkejaran di celahan batu. Tapi 'anak ikan' takdelah kat sini!


Ada juga pemandangan teluk yang dihempas ombak kencang. Sungguh cantik!


Tapi kena tahanlah dengan cuaca yang terik kat sini. Bayu laut yang panas dan lembap cukup untuk membuatkan badan anda berlengas, dan peluh menitik bagaikan baru lepas bersukan.


Walaupun Simpang Mengayau ini satu destinasi yang menarik, ia lengang sewaktu kunjungan Fendiosman. Ini menguatkan lagi hipotesis Fendiosman (matila ayat Sarjana) yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia tak suka tempat-tempat macam ni! Takde tempat membeli-belah katanya. Hanya tiang bendera yang tegak berdiri mengibarkan Jalur Gemilang yang setia menghuni kawasan penghujung Pulau Borneo itu.


Bila dah panas terik mencengkam tu merasuk badan, mulalah perut ni rasa lapar! Jangan risau, kat sini ada tempat jual makanan. Tapi kalau yang jenis nak ada sijil HALAL JAKIM walau ke mana saja pergi sambil menyebarkan emel tanpa sebarang usul periksa pasal halal haram tu, kedai ni bukanlah kedai untuk anda mengisi perut.


Apa lauknya? Nasik ikan halia yang sungguh menyelerakan! Potongan ikan yang segar digoreng bersama kepingan halia dicampur dengan hirisan daun bawang putih cukup untuk membuatkan anda terbuang angin pada sebelah malamnya!


Kalau yang ingin bermalam, di sini ada chalet yang berpatutan harganya! Sambil menenangkan fikiran, boleh juga menyaksikan terbit dan terbenamnya matahari, dan juga bunyi ombak dan semilir angin yang cukup mententeramkan.


Memandangkan masa yang ada amatlah terhad, tidaklah Fendiosman duduk bermalam, ditambah pula perjalanan dari Kota Kinabalu ke Simpang Mengayau ni memakan masa 3 jam sehala, agak sukar bagi Fendiosman yang mempunyai pelbagai urusan seperti membawa pulang kiriman ikan dan udang kering, serta makanan laut segar dari bandar ke Semenanjung. Jadi, secara keseluruhannya, Tanjung Simpang Mengayau adalah satu tempat must visit sekiranya anda menjejakkan kaki ke negeri Sabah. Walaupun jauh, tapi persekitaran kawasan tersebut menyebabkan anda lupa sejenak tempoh masa yang diambil untuk sampai ke penghujung Pulau Borneo yang merupakan salah sebuah pulau yang terbesar di dunia.