Nukilan di bawah adalah cubaan Fendiosman untuk mengarang menggunakan bahasa skema, jadi....kalau murid-murid semua nak termuntah bila membaca, ampunkan Fendiosman ya!
Dalam keadaan kelam kabut Fendiosman mengheret beg ke sana ke mari, Fendiosman seboleh-bolehnya cuba untuk mencuri sedikit masa untuk membelai diri sendiri menikmati pemandangan indah di kawasan sekitar tempat Fendiosman bertugas luar. Kali ni, Fendiosman ditugaskan untuk membantu menyelesaikan urusan berkaitan induksi pegawai-pegawai nun jauh di timur Malaysia, yakni di Sabah. Alang-alang dah sampai, masa mesti dimanfaatkan sebaik mungkin. Kalau ikutkan log penerbangan Fendiosman sepanjang Fendiosman berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan awam sejak penghujung 2004, ini kali ke 18 Fendiosman telah berkunjung ke negeri nan terkenal dengan kemuncak tertinggi di Asia Tenggara ini.
Lazimnya Fendiosman isi masa lapang selepas waktu kerja dengan sesi membelai diri di sauna dan jakuzi tempat penginapan Fendiosman. Bagi bakar lemak temanya, tapi tak jugak kurus-kurus. Aritu dah turun, lepas raya ni, Masya Allah......................berlipat kali ganda naiknya!
Tidak ketinggalan juga sesi membelai kaki dengan membuang segala kerak-kerak yang melekat, serta kulit-kulit mati yang membuatkan kulit kaki tak ubah seperti kertas pasir.
Namun pada kunjungan kali ini, Fendiosman berjaya juga menjejakkan kaki ke satu tempat istimewa yang menjadi salah satu tempat kunjungan idaman Fendiosman. Dengan deburan ombak yang menghempas, bayu laut yang melambai, dan pemandangan yang amat mendamaikan, tempat ini sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan. Jauh dari hiruk pikuk kota, dan dari kehidupan serba kelam kabut di bandar!
Warna biru air laut yang memanggil-manggil cukup untuk membuatkan Fendiosman terpaut, dan menanam hasrat untuk menjejakkan kaki ke tempat ini. Akhirnya, sampai jua Fendiosman ke daerah asing ini, dengan bantuan seorang teman, yang juga mempunyai keinginan yang sama. Jadi, seawal jam 8 pagi, kami gigih berkereta tanpa bantuan sebarang peta, apa lagi jurupandu untuk menyempurnakan hasrat yang terpendam.
Haaa...inilah teman merangkap supir Fendiosman. Sungguh gembira beliau menikmati jagung bakar yang dibeli di persinggahan untuk ke kawasan tujuan kami itu!
Tapi sebenarnya Fendiosman ke mana?
Tapi sebenarnya Fendiosman ke mana?
Inilah tempatnya ya murid-murid! Dari kejauhan, tempat ini seolah-olah memanggil Fendiosman untuk menghampirinya! Lambaian bendera Malaysia cukup untuk membuatkan Fendiosman rasa berbangga berpijak di bumi bertuah ini. Kata orang, there is no other place like home. Jadi, inilah buktinya!
Untuk murid-murid yang kurang mahir dalam ilmu Geografi, tempat ini namanya Tanjung Simpang Mengayau. Terletak di daerah Kudat, tempat ini merupakan penghujung paling utara bagi Pulau Borneo yang terdiri dari Negeri Sabah, Sarawak, Negara Brunei Darussalam, dan sebahagian dari Republik Indonesia.
Kalau keadaan cuaca mengizinkan, kita boleh melihat negara Filipina dari kejauhan. (tapi pulau seketul di sebelah kiri gambar tu bukanlah Filipina ya murid-murid).....
Kalau nak lihat pertemuan dua arus laut, di sinilah tempatnya. Laut China Selatan bertemu Laut Sulu di Tanjung ini. Kalau Afrika Selatan boleh berbangga dengan 'Cape of Good Hope'nya, Malaysia juga boleh berbangga dengan Simpang Mengayau yang jarang diterokai oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya. (sebab rakyat Malaysia yang ramai ni, hobi utama adalah membeli belah. Baca : royanan Fendiosman di Jepun dulu).
Apa aktiviti yang boleh dibuat di sini?
Hmmmm.....murid-murid, di sini kita boleh duduk berjam-jam lamanya menyaksikan alunan ombak, sambil menenangkan fikiran. Bagi yang dari spesis dalam hati ada taman, ataupun mirip-mirip novel Melayu karya Norhayati Berahim, di sini adalah tempat untuk mengimbau nostalgia kisah cinta lama, sambil menyaksikan ia dibawa pergi oleh arus yang entah ke mana haluannya. (Mrasalah feeling2 jadi penulis tersohor)
Shopping? Takde ye murid-murid. Hanya kulit siput saja yang boleh dibeli untuk dibuat ole-ole. Tapi bezanya harganya amatlah ketara jika nak dibandingkan dengan Pasar Filipina di Bandaraya Kota Kinabalu. Di sini, harganya begitu murah. Dah kalau murah kau nak makan ke kulit siput tu dek oii?
Di sini, keseluruhannya adalah menjurus kepada pemandangan.
Ada pemandangan laut yang jernih....sambil menyaksikan ikan-ikan berkejaran di celahan batu. Tapi 'anak ikan' takdelah kat sini!
Ada juga pemandangan teluk yang dihempas ombak kencang. Sungguh cantik!
Tapi kena tahanlah dengan cuaca yang terik kat sini. Bayu laut yang panas dan lembap cukup untuk membuatkan badan anda berlengas, dan peluh menitik bagaikan baru lepas bersukan.
Walaupun Simpang Mengayau ini satu destinasi yang menarik, ia lengang sewaktu kunjungan Fendiosman. Ini menguatkan lagi hipotesis Fendiosman (matila ayat Sarjana) yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia tak suka tempat-tempat macam ni! Takde tempat membeli-belah katanya. Hanya tiang bendera yang tegak berdiri mengibarkan Jalur Gemilang yang setia menghuni kawasan penghujung Pulau Borneo itu.
Bila dah panas terik mencengkam tu merasuk badan, mulalah perut ni rasa lapar! Jangan risau, kat sini ada tempat jual makanan. Tapi kalau yang jenis nak ada sijil HALAL JAKIM walau ke mana saja pergi sambil menyebarkan emel tanpa sebarang usul periksa pasal halal haram tu, kedai ni bukanlah kedai untuk anda mengisi perut.
Apa lauknya? Nasik ikan halia yang sungguh menyelerakan! Potongan ikan yang segar digoreng bersama kepingan halia dicampur dengan hirisan daun bawang putih cukup untuk membuatkan anda terbuang angin pada sebelah malamnya!
Kalau yang ingin bermalam, di sini ada chalet yang berpatutan harganya! Sambil menenangkan fikiran, boleh juga menyaksikan terbit dan terbenamnya matahari, dan juga bunyi ombak dan semilir angin yang cukup mententeramkan.
Memandangkan masa yang ada amatlah terhad, tidaklah Fendiosman duduk bermalam, ditambah pula perjalanan dari Kota Kinabalu ke Simpang Mengayau ni memakan masa 3 jam sehala, agak sukar bagi Fendiosman yang mempunyai pelbagai urusan seperti membawa pulang kiriman ikan dan udang kering, serta makanan laut segar dari bandar ke Semenanjung. Jadi, secara keseluruhannya, Tanjung Simpang Mengayau adalah satu tempat must visit sekiranya anda menjejakkan kaki ke negeri Sabah. Walaupun jauh, tapi persekitaran kawasan tersebut menyebabkan anda lupa sejenak tempoh masa yang diambil untuk sampai ke penghujung Pulau Borneo yang merupakan salah sebuah pulau yang terbesar di dunia.



1 comment:
bos..kat situ boleh tgk pertembungan 2 selat (kalau tak salah la yer)...sebab dh lama dh pergi sana...
Post a Comment