Sunday, December 16, 2007

Selamat Tinggal Baba

Kalau dulu, aku tumpang bersimpati kepada kawan-kawanku yang kematian bapa, hari ini aku sendiri merasakan apa yang kawan-kawanku pernah rasakan.

Kalau dulu, aku dapat mencium tangan Baba setiap kali nak pulang, hari ini aku takkan dapat menciumnya sampai bila-bila lagi.

Kalau dulu, aku akan mendengar suara Baba saban minggu memberi nasihat kepadaku, hari ini aku akan merindui suaranya yang lantang itu selama-lamanya.

Kalau dulu, aku akan mengadu kepada Baba sekiranya ada masalah yang aku hadapi, hari ini, esok, dan seterusnya tiada lagi tempat aku mengadu nasib aku tatkala aku memerlukan.

Baba telah pergi buat selama-lamanya pada 14 Disember 2007 yang lalu di Sinai, Mesir dan atas permintaan Baba sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Baba mohon supaya jenazahnya disempurnakan di Mesir juga.

Aku mendapat tahu berita pemergian Baba selepas waktu rehat yang panjang pada hari Jumaat. Sedang aku membaca surat khabar, telefonku berdering. Dari nombor yang kulihat, aku mengagak itu adalah nombor tempatan. Tapi, aku kehairanan apabila mendengar suara ibuku yang amat sayu di kejauhan.

"Angah....mama ni. Angah jangan terkejut, angah banyak bersabar. Baba dah takdak lagi"

"Apa mama buat lawak ni?"

"Angah...baba kita dah takdak. Betul ni...."

Aku rasa jiwa aku luluh. Aku tak sangka panggilan yang aku terima pada hari Rabu yang lalu adalah panggilan terakhir dari Baba untuk aku untuk selama-lamanya. Aku tabahkan diri, walaupun dengan linangan air mata, aku menelefon adik-beradikku yang lain. Along, Acik dan Adik, semuanya bagaikan tidak percaya dengan berita yang aku khabarkan. Bagitu juga dengan saudara-maraku yang lain. Semuanya terkejut dengan berita yang dibawa olehku.

Baba begitu ceria sewaktu hendak berlepas ke Mesir tempohari. Setelah beberapa kali perjalanannya ditunda ekoran masalah tiket penerbangan, akhirnya pada 8 Disember yang lalu, Baba dan Mama berlepas ke sana.

"Angah, baba nak terbang dah ni, kat boarding dah.....Insya Allah umur panjang kita jumpa lagi"

Terngiang kata-kata sebelum Baba berlepas. Dengan suara yang gembira kerana dapat membawa Mama bersama-sama untuk bercuti.

Kalau mengikut cerita Mama sewaktu aku berhubung dengannya di sana, Baba kepenatan setelah memanjat Bukit Tursina di Sinai. Menyaksikan peninggalan sejarah Nabi Musa A.S. Sesudah mandi, membersihkan diri dan solat Subuh, Baba mengadu kepenatan dan meminta Mama membacakan Yaasin kepadanya sebagaimana biasa diamalkan. Tapi kali ini, apabila tamat bacaan Yaasin yang Mama bacakan, Baba pun pergi buat selama-lamanya. Begitu senang Baba pergi, tanpa sebarang masalah. Pada hari Jumaat, di bumi para Ambia'. Sekurang-kurangnya dapat aku bayangkan di mana tempat yang Allah Taala janjikan buat Baba. Esok malam, Mama akan tiba di tanahair semula dan aku tidak dapat membayangkan bagaimana perasaanku apabila berdepan dengan Mama esok.

Ya Allah, tabahkan hatiku ini. Berilah aku kekuatan untuk menghadapi ujian-Mu kepadaku.

Ada beberapa perkara yang bila difikirkan kembali, memberitahu alamat Baba akan pergi. Semacam Baba tahu saat kematiannya telah hampir.

Pada Hari Raya yang lalu, tatkala semua adik-beradikku berkumpul;

"Nampak gaya cucu baba 2 orang ni saja la yang Baba sempat tengok"

Tapi aku mengganggap ia satu seloroh Baba yang sentiasa terkenal dengan gurauan.

3 minggu yang lalu, di rumah abangku;

"Raya Haji ni kalau Baba takdak pun, Angah balik la kampung, Baba mintak Ndak buat korban untuk kita sekeluarga. Wakilkan Baba...."

Dan aku masih mengganggap aku akan bertemu Baba lagi.

"Ala...nanti Baba ambik la Angah kat airport Penang naaaa....Angah sampai malam raya"

2 minggu yang lalu selepas aku pulang dari Miri dan Brunei, aku memberikan hadiah untuk ibuku;

"Anak Baba yang sorang ni, kalau outstation ka, berjalan ka memang bagus. Semua dia ingat. Kat Mama dia beli, kat Kak Fatin (kakak iparku) dia beli, kat Chu (adiknya) dia beli, kat Mami (kakaknya) dia beli. Tapi kat Baba tak pernah beli apa-apa pun"

"Ala Baba...Angah nak beli apa kat Baba? Beli baju, baju pun Baba tak salin. Takpa la Baba, nanti kalau Angah outstation lagi Angah beli naaaa" janjiku pada Baba.

Tapi, hasratku nak membelikan barang untuk Baba terkubur bersama-sama pemergian Baba.

Awalnya, tidaklah aku merasakan kesan pemergian Baba. Tapi semalam, sesudah aku menunaikan solat Subuh, empangan air mataku tidak dapat kutahan lagi. Baru aku sedar Baba telah tiada buat selama-lamanya. Aku menangis semahu-mahunya.

Baba, Angah mohon maaf, minta dihalalkan segala makan dan minum Angah selama 27 tahun 10 bulan dan 3 hari Angah bersama Baba. Angah doakan semoga roh Baba ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Untuk pihak Kedutaan Malaysia di Mesir, para pelajar Malaysia di Kaherah (Kedah House terutamanya), dan semua yang terlibat, terima kasih kerana membantu menyempurnakan jenazah Baba di sana. Hanya Allah Taala sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

Al Fatihah buat Baba, Haji Osman bin Haji Yahya (11.5.1948 - 14.12.2007)

23 comments:

Anonymous said...

Salam takziah buat fendi...

Saya turut bersimpati atas kehilangan ayah awak...saya doakan moga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin Yarabbil'alamin...

Innalillah..

Ikhlas dari saya...

Anonymous said...

takziah kepada tareq serta keluarga..

Red Mummy said...

fendi sayang

sorry to hear this..

akak cam dibawa2 hati utk pi blog ko mlm ni, rupanya ada sebabnya.

tabahkan hati ye fendi.

alfatihah for allahyarham.

Hambali ® said...

innalillah
salam takziah ...
bawak2 la bersabaq banyak na ...

syita114 said...

tariq..

takziah..sayu aku baca entry ko ni...aku tau ptg jumaat dari kayril yg tau dr syawal. aku punyala terkejut sbb baru kol 250 ptg tu aku chat ngan ko kat ym..tabahkan hati k...

A.Y.U.N.I.E said...

salam tariq!banyakkan bersabar n tabahkan hati..sekurang-kurang tunaikan amanat ayahanda sempena raya nie..

aku tau pun biler baca YG..saje singgah blog ko..tak sangka ader input baru..

take care!

Unknown said...

Salam Fendi.

Ucapan takziah drp sye untuk fendi sekeluarga. Semoga tabah selalu.

Alfatihah untuk arwah.

Orlando Bloom said...

fendi, sedihnya aku baca entry ni, mengingatkan ketika my mom meninggal..takder sapa ready utk perkara macam ni...sabarlah...takziah dari aku utk ko sekeluarga

Shah said...

Innalillah & Al Fatihah di sedekahkan buat arwah.

Semoga Fendi akan tabah menempuhi hari-hari yang akan datang...

Anonymous said...

salam tariq.
takziah diucapkan.
semoga kau kuatkan semngat & tabah mnhadapi ujian dari-Nya.
Semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan di klngn org2 yg beriman, amin.

Angah said...

Al-fatihah

Salam takziah daripada Angah sekeluarga. Memang kita tak perasan perubahan tingkah laku arwah sebelum pemergiannya. Lepas tu baru teringat2 semua tanda2 yang menunjukkan dia akan dijemput Ilahi.

Angah masa kehilangan ayah 6 tahun lepas pun begitu juga. Dah seminggu pemergian dia baru terasa sedih yang amat. Rasa kosong dsb. Tapi lama kelamaan alhamdulillah.

Kenang lah semua kebaikan dia, semua saat manis2 bersama dia.

Be strong for your mother Tariq. Dia yang lebih merasakan kehilangan.

Rush Murad said...

fendi - kuatkan semangat, tabahkan hati.... redha dgn apa yg berlaku. u know that i will always there for u.... call/sms me anytime if u need to talk to someone....

plan pi Egypt ya.... nanti boleh pi tengok 'rumah' baba....

shahril aley said...

Aku ucapkan takziah fendi atas kepermegiaan arwah baba kau bertemu Allah SWT yang maha esa. Semoga rohnya ditempatkan bersama umat Islam yang dirahmati hidupnya. Cekalkan hati untuk menyambut Hari Raya Aidiliadha yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Ad Rifza said...

Salam takziah utk fendi sekeluarga..Moga dia ditempatkan bersama2 org yg soleh..Insyallah...

Fizz Zaquan said...

Salam takziah 4 fendi and family. Moga ayahanda fendi ditempatkan di antara orang2 yang beriman dan rohnya dicucuri rahmat.

zyrin said...

tariq.

aku mmg x reti nk berkata2. semua aku nk katakan, org lain dah cakap. semua aku nk katakan, aku dh smpikan kt hang melalui sms.

whatever you need. really.

Nurul Abid said...

Dapat tahu berita sedih ni dari Shahril Aley. My empathy for you, I have been there before.

Al-Fatihah untuk your Baba...Amiinn...

Adi Osman said...

kepada semua (nak karang satu satu panjang la pulak),

terima kasih atas ucapan takziah yang diberikan. saya hargai apa yang anda semua ucapkan.

jazakumullah khairan kathira....

Wanpetunjuk said...

Salam...abg, takziah sy ucapkan buat abg sekeluarga....sesungguhnya setiap di antara kita yang hidup pasti akan pergi menemuiNYA, semoga abg dapat menerima pemergian baba dengan pasrah dan redha.....Allah lebih sayangkan baba....

Saya mendoakan agar arwah baba diletakkan di kalangan orang2 beriman, bykkan berdoa untuk arwah baba.....semoga juga abg terus tabah dan bersemangat untuk menemuai hari2 mendatang....

~amin~

Anonymous said...

fendi. salam takziah utk kau sekeluarga.

serupa kita. ayah aku pon baru meninggal. cuma dah dekat sebulan lah dia meninggal. dia pon meninggal hari jumaat. aku pon tak dapat jumpa dia. jarak aku dengan ayah aku masa tu pon hampir 10,000km. aku pon tak penah belikan apa-apa utk ayah aku kalau gi outstation.

baca entry kau ni, aku pon jadi sayu balik. all we can do is pray for them now. Semoga semua pekerjaannya diterima sebagai ibadat dan diampunkan segala dosa.

you take care.

Ziana said...

hi fendi,

salam takziah utk fendi dan keluarga..
moga roh arwah dicucuri rahmat..

Al-Fatihah..

Amin..

Najib Ariyan Ali Basha said...

Assalamualaikum,

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429, semoga kehidupan di tahun yg baru ni akan lebih membahagiakan...

Beruang madu aka HoneyBear

Anonymous said...

Akak baru jenguk blog awak ari ni. Baru dapat tau. Takziah dari akak. Semoga Allah menempatkan roh baba di kalangan kekasihNya, Amin.

Fatimah, OUM