Friday, February 11, 2011

3 Benua, 10 Hari

Cepatlah sampai Cairo.....

Perjalanan 3 jam ke Cairo Fendiosman rasakan macam terlalu lama. Terbang 10 jam ke Istanbul pun tak selama naik kereta ke Cairo! Alhamdulillah, sebelum matahari terbenam Fendiosman tiba di rumah penginapan. Masing-masing mengucapkan kelegaan selepas kesemua kami gagal untuk berhubung antara satu sama lain melalui telefon.


Di kaca tv, stesen Al Jazeera menayangkan berita tunjuk perasaan di Tahrir Square, tempat yang sepatutnya menjadi kunjungan Fendiosman pada hari berikutnya.

Satu yang menyebabkan Fendiosman kagum, para penunjuk perasaan akan berhenti untuk bersolat bila sampai waktunya dan kemudian disambung kembali. Polis pula akan berhenti menyerang / mengawal apabila para penunjuk perasaan bersolat. Kemudian setelah selesai bersolat, masing-masing kembali menjalankan urusan yang terhenti. Errrr....kat Malaysia, tengah-tengah waktu azan pun boleh lagi buat raptai acara menari-menari. Imam dok baca surah kat masjid, kat pentas.....dok buat counting 1 2 3. Malaysia pun negara Islam kan? Untuk kesempurnaan majlis katanya! Ehhhhh.....

Kembali pada cerita tunjuk perasaan.

Dalam berita juga, barulah Fendiosman mengerti yang semua talian telefon dan internet telah disekat oleh kerajaan di seluruh negara Mesir. Pasal tu lah cubaan Fendiosman untuk berhubung dengan semua orang di Alex gagal. Tuan Rumah yang Fendiosman tumpangi mula merancang tugasan yang perlu beliau selesaikan dalam keadaan krisis sebegini. Tugas beliau di Mesir adalah untuk menjaga pelajar-pelajar tajaan Kerajaan Malaysia yang menuntut di pelbagai universiti di seluruh Malaysia. Katanya hampir 9 ribu pelajar yang ada. Macam manalah dia nak buat ye? Ishhhh....

Aktiviti sebelah malam, hanyalah sekadar duduk di rumah dan menonton tv, di samping melayan anak-anak tuan rumah membaca buku cerita.

Di kaca tv, Al Jazeera masih memancarkan siaran mengenai tunjuk perasaan besar-besaran itu! Ditunjukkan bangunan dibakar, kereta perisai polis pun digoyang, dan cuba dihumbankan ke dalam Sungai Nil, kemudiannya dibakar. Semuanya berlaku di tempat yang Fendiosman berdiri untuk mengambil gambar pada hari sebelumnya.

Memandangkan tiada sebarang aktiviti yang boleh dilakukan di luar, dan perintah berkurung mula dikuatkuasakan oleh Kerajaan Mesir. Fendiosman hanya terpaku di hadapan tv untuk beberapa jam yang berikutnya. Dek kerana bosan, Fendiosman melangkah masuk ke bilik tidur.

Fendiosman dikejutkan beberapa jam kemudian dengan bunyi tembakan mesingan bertalu-talu....

Brrrrr......brrrrrr.......brrrrrrrr.......

Anak tuan rumah mula menangis, dan Fendiosman bangun apabila mendengar bunyi televisyen dibuka. Tuan rumah dan isteri sedang menonton tv untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku. Demi Allah, perasaan takut menghantui jiwa Fendiosman dengan bunyi tembakan tersebut. Mana la tau kot2 dia naik ke rumah dan menyerang. Dalam keadaan sebegitu apa pun boleh berlaku. Hanya Allah saja yang mengetahui perasaan Fendiosman tatkala itu.

Nota: Hanya penceritaan sahaja yang boleh dibuat memandangkan gambar-gambar tiada diambil untuk mengiringi kisah ini.

Siaran tv terus ditonton namun tiada apa berita yang dikhabarkan. Fendiosman masuk ke bilik tidur kembali tapi mata terlalu sukar nak dilelapkan. Bunyi tembakan masih terus kedengaran. Entah apalah nasib Fendiosman......?

Ya Allah, peliharakanlah hambaMu ini.....

Fendiosman sedar di sebelah pagi apabila pintu rumah diketuk. Rupanya pegawai dari Kedutaan Malaysia datang berkunjung untuk bertanyakan keadaan keselamatan tuan rumah yang Fendiosman tumpangi di samping mengarahkan tuan rumah untuk ke pejabat bagi menghadiri mesyuarat membincangkan pelan evakuasi yang perlu dibuat oleh Kedutaan Malaysia. Lihat ya murid-murid, siapa kata Kedutaan Malaysia langsung tak buat? Dari awal lagi dah dibuat pelan dan tiba saja masa kecemasan, pelan tindakan tersebut terus dilaksanakan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di bumi Mesir.

Fendiosman amat kecewa apabila mendengar tohmahan daripada sesetengah pihak yang menyatakan bahawa pihak kedutaan tidak langsung mengambil berat, tidak menjawab panggilan telefon sedangkan Fendiosman saksikan dengan mata kepala Fendiosman sendiri yang pegawai-pegawai kedutaan bersengkang mata menahan mengantuk untuk merancang pelan keselamatan dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Dengan kekuatan 20 orang, manalah mampu untuk diketuk pintu seluruh rakyat Malaysia di Mesir. 11 ribu bukannya sedikit, dan bukan semua rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan. Dan mereka yang membuat panggilan ke Kedutaan Malaysia melalui siaran berita amatlah tidak mencapai akal yang sempurna. Keadaan genting sedemikian, takkanlah nak duduk di kerusi menunggu panggilan dari sebuah syarikat televisyen?

Tuan rumah memberitahu yang aktiviti lawatan Fendiosman pada hari tersebut terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan. Fendiosman diminta tinggal sahaja di rumah. Fendiosman akur memandangkan Mesir adalah bumi yang asing bagi Fendiosman. Tuan rumah hanya hendak memastikan keselamatan Fendiosman yang kini berada di bawah tanggungjawab beliau secara tidak langsung.

Walau bagaimanapun, perasaan khuatir tetap hinggap di hati Fendiosman. Sepatutnya awal pagi Ahad yakni keesokan harinya, Fendiosman akan berlepas ke Istanbul semula, entah boleh entah tidak......

to be continued.....

1 comment:

swit@kon said...

cepat sambung....nervous ni baca....